Leterannya dari rasa luhur,
Menegur sebelum terlanjur,
Itulah yang diwarisi,
Pesan ibu terpahat di hati,
Beringat-ingatlah berpesan-pesan,
Untuk kebaikan,
Marah bukan kebencian,
Tapi tanda sayang.....
Engkau semakin dewasa,
Berjiwa merdeka,
Sedang dia semakin tua,
Membilang usia,
Di saat kau berjaya,
Dia tiada berdaya,
Semoga kau tak lupa,
Jasa bonda.
Itulah lagu yang didengar pada petang tadi. Lagu yang dia dengar di corong Radio Maya Fm tadi.Bait-bait perkataan yang tersusun kemas dan perlahan serta mudah difahami amat bermakna pada dirinya.Ehsan menelan air liur.Ada belati tajam mencantas ulu hati.Dia teringat akan keluarganya di selatan tanah air.Dia memilih untuk tinggal dan bekerja di bandar metropolitan bagi membantu keluarganya yang sangat susah di sana.Ehsan menyebak bidai untuk menghirup segar udara malam.Bintang-bintang berkerlipan menyerlahkan lagi kecantikan malam.Angin meniup mulus mencucuk sum-sum tulang.
Ehsan tidak tahan lalu menutup semula jendela itu.Dia menghempaskan badannya ke katil.
Jam sudah menginjak pukul satu pagi.Badannya berasa sangat letih namun matanya sukar dilelapkan.Dia cuba memejamkan mata tetapi segesit itu wajah ibunya melayang datang.
Sekelilingnya masih suram-buram dan kelam.Tidur mata,tidurlah!Jeda seketika.
Entah mengapa dada Ehsan dipalu perasaan debar dan gementar.Adakah dia membuat sesuatu atau perbuatan yang tidak diketahui oleh ibunya? Perasaan debar dan gementar semakin semakin dipalu hebat.Ada rimas rebas dalam hati.Sudah-sudahnya dia bingkas bangun lalu menyerah diri dalam solat malam.Resah begini,hanya satu penawarnya-tahajjud.
Dia kosongkan jiwa,dia mahu isi kelompangan itu melalui perjalanan rohaninya.
Lama dia duduk merenung temaram dinihari diatas sejadah seusai solat dan zikir.
Dalam diam dan hening dinihari,dia larut ke dalam diri sendiri,menelusuri satu demi satu momen yang sudah dia lalui.Dia harungi semua itu dengan bertopangkan semangat keluarga mereka.Dia menghargai jasa dan pengorbanan kedua ibu bapanya.”Belajar rajin-rajin Long,
Kalau kau berjaya mak dan ayah tumpang gembira..,”Apa yang penting,kau belajar dengan niat kerana Allah,InsyaAllah,Allah akan tolong kau...,” ayahnya menyitir hadis Bukhari dan Muslim.Ayahnya selalu-selalu memberi motivasi yang menyundut telinganya dan kekal dalam cepu kepala.”Kuatkan semangat kau,tabahkan hati,teguhkan iman menghadapi zaman yang pancaroba dan penuh dugaan ini,buat sesuatu dengan bersungguh-sungguh,”ayahnya menambah lagi.Dia pegang kata-kata itu.
* * * *
Ehsan mengejipkan mata.Dia masih duduk antara dua sujud di atas sejadah.Cahaya samar bertelau-telau dari lampu kuasa rendah di atas meja dan di tepi katil memberi pandangan terhad.Sepi dinihari masih memagut.Mata sebenarnya masih belum letih.Seharian bekerja di universiti tidak menghilangkan penat.Mungkin jadual yang tidak berapa padat.Ehsan mengeluh sendirian.Dia menarik nafas dan melepaskan dengan perlahan.Wajah ahli keluarganya bertandang ke sukma.Dia menekurkan pandangannya ke permukaan meja lalu mengambil foto ahli keluarganya.Ehsan merenung tunak gambar ibu bapanya.Tidak disangka-sangka Ehsan mengorak senyuman.Tersenyum melihat dia,ibu serta bapanya diambil gambar sempena Konvokesyen UPSI ke-10.Dialah orang yang sangat gembira pada waktu itu.Gembira yang tidak boleh dilontarkan dengan kata-kata.Dia juga telah mencapai impian dan cita-citanya menjadi pensyarah.Janjinya kepada kedua ibu bapa telah dikotakan!
Suraya,adiknya yang berambut lurus ke bahu,bercelana panjang,mengumbarkan senyuman kepadanya sambil memberi sekalung ucapan tahniah pada masa itu.
Aduh ibu....sakit!Tolong bu.......perit!Belakang ini telah berbirat tinggalan rotan.Ibunya ketandusan kata-kata.Ibunya,Siti Salmah telah merotannya kerana tidak lulus ujian dalam peperiksaan akhir tahun.Ehsan menangis teresak-esak dirotan ibunya.Suara Ehsan lirih menuntut perhatian supaya dihentikan,namun tidak diendahkan.
Dia tahu ibunya membanting tulang empat kerat,mencari rezeki untuk menyara Ehsan dan adiknya,Suraya.Ibunya juga seorang ringan tulang membuat kerja kampung.Ibunya,seorang penoreh getah,manakala,bapanya,Ramli,pengawal keselamatan di sebuah pejabat di bandar Johor Bharu.
“Mah,dah la tu...,sakit budak tu nanti..,”ayah menasihat ibunya supaya berhenti.
“Biarkan dia sakit....,hati saya lagi sakit...,biar dia rasa apa yang kita rasa...
Selama ni,apa yang dia inginkan,kita bagi...,”Ibunya yang sangat marah pada waktu itu meluahkan apa yang terbungkam di dalam hati.
“Dah,Pergi masuk dalam bilik.., emaknya memberitahu lantang.
“Ingat Ehsan,pelajaran la yang dapat mengubah kehidupan kita ini..”ayahnya menambah.
“Baik,mak..”
“Baik,ayah..”
* * *
Ehsan menyeka air mata yang menitik di pipi.Terasa perasaan sayu melintasi di benak dan menjentik hati.Terasa satu badan sakit yang mencucuk tulang.Dia menghalakan pandangan di luar rumah.Melihat pokok-pokok yang menghijau di kampungnya.Dia menodak mata dengan pokok herba yang ditanam oleh ibunya.Ibunya sejuk tangan menanam pokok-pokok herba yang berasaskan kesihatan untuk digunakan oleh keluarga.Ada hempedu bumi,lempoyang,cekur,misai kucing.Orang lalu lalang di rumahnya,sejuk mata memandang.
Dua ekor kucing yang bermain di beranda rumahnya membuatkan dia tersenyum sejuring.
* * * *
Dia pernah melihat ibunya menggadai barang kemas di pajak gadai.Ehsan,pada masa itu, masih mentah dan tidak mengerti apa-apa pada masa itu.Ya masih mentah lagi yang hanya mampu merengek dan menarik wajah cemberut bagi mendapatkan sesuatu yang diinginkan dari ibunya.Ehsan seorang culas malas pada waktu itu dan hanya tahu bermain dan malas mengulang kaji pelajaran.Pernah suatu ketika,ibu dan ayahnya terpaksa ikat perut selama tiga hari kerana mereka kasih akan anak-anaknya.
“Kita terpaksa ikat perut hari ni,Mah,Abang tiada duit.Duit ada,tapi cukup untuk anak-anak kita.”
“Tak mengapa ,bang..Mah faham.. Kita pentingkan anak-anak kita dahulu.”Biar mereka dapat makan sesuap nasi daripada kita.”
Itulah ucapan ayah dan ibunya yang meranggas pendengarannya.Pendapatan keluarganya hanya bergantung pada kutipan getah buku dan pendapatan pengawal keselamatan.
Jikalau musim tengkujuh,mereka terpaksa makan nasi berlaukkan garam sahaja.Ehsan panggung kepala,memandang dan makan lauk yang ala kadar sahaja.Dia tahu,pada masa itu,dia anak yang matang sudah,tidak harus cepat sentap dan cengeng dengan rezeki yang diberi oleh-Nya..Dia harus berfikir dengan akal fikirannya yang waras agar terima kehidupannya pada masa itu.Bapanya,sering keluar malam,mencari sesuap nasi untuk keluarga dan anaknya.Pada waktu cuti,ayahnya bekerja sebagai pembantu lori di kampung.
Pernah suatu ketika,ayahnya,mengalami kemalangan yang hampir meragut nyawanya.
Dia berasa kasihan akan nasib keluarga dan mahu mencorakkan kemajuan dalam keluarganya.
Ibunya masuk dalam bilik,dan meminta maaf.Ehsan segera memeluk erat ibunya dan berjanji-belajar bersungguh-sungguh.Itulah janjinya.Ini Jihad!
Lama –kelamaan,perubahan Ehsan yang mendadak dapat dilihat oleh guru-gurunya di sekolah dan ibu bapa.Kerajinannya menyebabkan dia mendapat keputusan cemerlang dalam SPM.Dia mendapat tawaran menyambung pelajaran di Timur Tengah tetapi dia menolak.
Apa yang ada dalam sukmanya adalah belajar di mana-mana sama sahaja dan dimulai dengan niat.Itulah prinsipnya!Masa tidak boleh ditambat,terlepas tak dapat dikejar.
Dia harus cepat bertindak.
* * * * *
Rasa bahagia ini sukar diucapkan dengan kata-kata.Rasa indah ini enak dan mulus masuk ke sukma bermukim di sana.Terasa hidup ini begitu cantik berwarna-warni.
Terasa jalur hidup ini begitu nikmat.Ini anugerah pemberian-Nya.
Hari yang paling bahagia dan gembira.Ehsan diterima masuk ke universiti di Perak.Cuaca yang lembap merancakkan lagi perjalanan Ehsan ke sana.Melangkah turun dari bas,dia menyewa teksi.Melangkah turun dari teksi,gegendang telinga di sambut dengan bunyi air mengalir.Angin menderu terasa dingin.Jam sudah menginjak pukul 1 tengah hari,matahari tentunya sudah mencarak gemilang tetapi di bumi masih redup kerana ditabir pohon hijau yang lebat di sekitar.Majlis suai-kenal antara pelajar yang diadakan terasa amat sekejap sahaja.Ehsan dapat mengenali budaya budak-budak di situ.Ada yang datang dari bandar metropolitan,kampung,dan lain-lain lagi.Baju batik hijau,yang bertemakan alam sekitar,agak gedoboh,merencatkan lagi keadaan untuk pergi ke suatu tempat.Ada sahaja gadis-gadis melihat fiil dan rencamnya ketika itu.
“Ah,biarkan Ehsan...,”getus hatinya.
“Lelaki golongan yang istimewa.Sebab itu lelaki jadi ketua.Itu dah memang ada dalam setiap budaya dan kaum”,kata-kata ayahnya,selalu menjentik mindanya,sekaligus menjadi motivasi terbaik dalam diri ketika pulang cuti semester.
“Tetapi kata ustaz,baik lelaki atau perempuan,mereka semuanya sama.Kerana Allah ciptakan kita untuk saling lengkap-melengkapi,”dia cuba melontarkan pandangan lain dari perspektif dirinya.
“Betul,kita bukanlah mengatakan perempuan tidak bagus.Tetapi kita hanya kata,
lelaki ada kuasa istimewa.Kuasa sebagai ketua.Apabila menjadi ketua,bukan bermakna lelaki boleh lepas tangan begitu sahaja dengan kuasanya atau salah guna kuasanya.
Kuasa itu bermakna amanah.Lelaki menjadi pemimpin,bermakna lelaki ada tugas yang lebih besar dan lebih berat,”suara ayah tegas menyusup masuk ke telinganya.
Itu antara diskusi serius antara dia dengan ayah pada malam itu.Malam yang penuh dengan meladeni soalan-soalan dari ayah.Lelaki mempunyai tugas yang berat yang harus dipikul untuk keluarga dan adik-beradik.Malahan,dia anak yang sulung.Itu merupakan tanggungjawab paling besar.Jeda sedenak.Masing-masing melayan perasaan sendiri.
Ada dengung nyamuk di hujung telinga.Dia mengusap-usap cuping telinga yang terasa gatal.
“Jom masuk,ayah,”Ehsan mengajak.
“Baiklah,”ayahnya pantas membalas.
* * * *
Ayahnya banyak memberi motivasi.Ayahnya juga menitikberatkan soal akidah dan tauhid dalam rohaninya bagi menghadapi zaman yang sudah jauh tersasar.Dia menghenyakkan tubuh ke katil.Ayah dan ibunya banyak mencurahkan kasih sayang dan pengorbanan terhadap keluarga.
Terasa ada sesalan dan keinsafan di situ.Tiba-tiba air matanya merembes keluar.
Mengenangkan pengorbanan dan kasih sayang keluarga untuk membesarkannya,
ibu bapa mereka tabah menghadapi,penuh dengan onak dan duri.Jalur keinsafan dapat dirungkaikan di situ.
Sebelum dia pulang,Ehsan menghadiahi ibunya selendang sutera yang berwarna merah.
Manakala,ayahnya, pula sebuah buku agama.Maklumlah,ayahnya seorang ulat buku.
Ehsan menelek jam di pergelangan tangan,mengira-ngira waktu yang sudah dia habiskan di samping keluarga.Dia juga memohon restu dari keluarganya supaya mendoakan peperiksaan semester akhir yang akan menjengah tiba.
Matanya ralit meneliti nota dan buku yang tersusun kemas di situ.Ada di antaranya adalah novel Ragau,Tiada Khatimah Cinta,Dari Tulang Rusukku,dan banyak lagi.
Dia meneliti nota yang perlu dibaca lalu mengambilnya.Buku Quantum Physics.
Ehsan tidak dapat pergi ke perpustakaan kerana ramai pelajar berpusu-pusu mengunjungi untuk menghadapi peperiksaan semester akhir.Peperiksaan akhir hanya tinggal dua minggu sahaja.Dia mesti lulus dengan cemerlang akan subjek yang diceburi dalam peperiksaan itu.
* * * *
Azan Subuh berkumandang di surau mengejutkannya dari buaian mimpi.Ehsan mengucap dan beristighfar panjang sebaik tersedar.Dia melihat jam digital yang terpapar di dinding.Dia mengambil wudhuk lau menunaikan solat Subuh berjemaah di surau.
Dia berdoa agar diberi petunjuk dan hidayah dari-Nya.Ucapan syukur terlintas dari mulutnya kerana telah menunaikan satu solat fardu dari lima waktu.Telefonnya tergeletak sebaik sahaja sampai di rumah.Dia melihat nama yang dipaparkan di skrin telefon bimbitnya.Suraya,adik kandungnya.Ehsan menekan butang dan menjawab dengan mulus.
“Hello,long,cepat balik...,mak terlantar sakit di rumah.”
“Apa??Bila mak ditimpa sakit?,Ehsan menjawab dengan terketar-ketar.
“Malam tadi,cepat balik tau..”
“Baiklah.”
Gugup dan takut menggempur jiwa Ehsan.Dia bingkas bangun dan mengemas baju untuk dibawa ke kampung.Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Johor Bharu terasa begitu lama.Berita yang dimaklumkan oleh adiknya tadi meyerabuti mindanya.Dia tidak dapat menumpukan perhatian semasa memandu hatta pemandangannya di hadapan.Wajah ibu menyendati mindanya.
Sebaik sahaja sampai,orang kampung telah memenuhi perkarangan rumah ibu bapanya.
Ehsan melihat bapanya sugul di beranda rumah,sementara,adiknya,Suraya berpelukan dengan ibu saudaranya.
“Ehsan,pak cik harap kau terima takdir ini,mak kau sudah tiada,Ehsan,”Tok Rahimie,
ketua kampung memberitahunya.
Dia melihat sekujur tubuh yang dibalut dengan kain kafan.Dia terasa hati jantungnya bagaikan jatuh berkeping-keping,berderai satu-persatu,jatuh ke tanah.Dia serasa tidak percaya apa yang dia lihat.Surah Yasin kedengaran dalam rumah itu yang dibaca oleh kaum wanita.Terkejut bukan kepalang Ehsan!Dia menjerit dan menangis teresak-esak dan memohon ampun atas kesilapan yang dilakukan.Namun,ia sudah terlambat.
Nasi sudah menjadi bubur.Ibunya mati kerana menghidap penyakit jantung.
Usai solat maghrib,majlis tahlil telah diadakan.Majlis tahlil yang sederhana dan hanya menjemput kariah surau dan penduduk kampung.Ehsan melihat ayahnya masih sugul sejak pagi tadi.Ayahnya duduk melangut di beranda rumah.Ehsan menguap.Dia menarik nafas dengan perlahan.Mata diusap kantuk.Ehsan mengajak ayahnya masuk tidur,tetapi ayahnya menolak.Ehsan menarik gebar menutup wajah.Malam itu penuh dengan kesedihan dan kesyahduan yang mencarik hati.
* * * * *
Pagi itu,sayup-sayup kedengaran kokokan ayam kedengaran.Kicauan merpati merancakkan lagi suasana kampung.Usai solat subuh,Ehsan mengejutkan ayahnya untuk bersarapan.Situasi ini tidak mendatangkan responds yang positif dari ayahnya.Dia menarik perlahan ibu jari kanan ayahnya supaya bangun.Tidak berkesan.
Ehsan memeriksa nadi ayahnya.Innalillahiwainnailaihirajiun.Dia terasa dadanya diserang gempa.Serasa-rasanya lebih hebat daripada gempa bumi yang mampu buat bumi terbelah dua.Separuh dadanya juga bagaikan diterjah angin langkisau.Angin yang menghentam terasa lebih kejam daripada angin taufan.
Ehsan telan air liur.Kerongkong perit-perit sedikit.Dia cuba menarik wajah tenang tetapi debar dan gempa yang menggempur dada nyata tidak dapat dilindungi lagi.Dup dap keras bagaikan mahu buat jantungnya luruh jatuh.
Ayah! Ayah! Ayah! Dia separuh menjerit,melihat ayahnya tidak bernyawa.
Ehsan kehilangan dua orang yang dia sayang.Ibu dan ayahnya.Mereka kehilangan sangat sekejap sahaja.Dia sendiri,hatinya sendiri sebu dengan sedih.Pengorbanan dan kasih sayang ayah dan ibu sejak kecil.Akal cuba mencerna kembali memori silam yang dilalui.Tawa dan tangisan yang dilalui bersama-sama keluarga tercinta.Jerih perih mak dan ayah membesarkannya.Terasa amat berharga.Beruntung lah dia andai kata masa dapat diundurkan.Tidak mungkin berlaku!
Ehsan mnghela nafas,dan masuk ke kamar.Dia memeriksa almari kepunyaan keluarganya.Sehelai selendang sutera kepunyaan ibunya diikat di birai katil.
Tercatat initial nama ibunya di hujung kain,Salmah.Tiba-tiba matanya tergelincir
Pada satu kertas yang dilipat kemas di atas meja.Dia mengambil dan membaca isi yang tertulis di dalamnya.
Telah aku isikan
Hamparan putih ini
Peuh harapan
Dengan angan-angan
Biar dibawa pergi
Sampai ke alam cita
Agar ada ruang di alam dunia
Dari ibumu.
Dia juga mengambil buku agama ayahnya yang terletak di atas rak.Tertulis sebuah dedikasi yang ditulis di halaman pertama.
Istimewa buat
Anakanda tersayang,
EHSAN,
Semoga segala impianmu,
Menjadi kenyataan.
Ehsan memeluk erat buku agama itu dan mencium selendang sutera.Ternyata jasa dan pengorbanan serta kasih sayang yang dicurahkan amat besar sekali.Dia hanya mamopu mengirimkan doa dalam rindu bertamu bersama Yasin dan zikir untuk ayah dan ibu yang tersayang.Wajah ayah dan ibu disimpan dalam cakera keras mindanya untuk menempuhi dugaan yang mendatang.Semoga selendang sutera dan buku agama ini dapat mengimbau memori silam bersama ibu dan ayahnya.
No comments:
Post a Comment